Tuesday, July 18, 2017

Bukan Tanggungjawab Mahasiswa Jika Universiti Dibebani Hutang!



Saya melihat kenyataan beberapa orang rakan aktivis yang bersama dalam gerakan mahasiswa era saya pada tahun 2012 dan yang terkemudian selepas era saya mengenai hutang pelajaran PTPTN. Sudah lama saya mengharapkan agar adanya taring-taring yang keluar bagi mendesak dan mengingatkan masyarakat secara berterusan agar kita terus melawan penyalahgunaan kuasa kerajaan. 

Portal media FMT menulis tajuk yang sangat sudah lama saya ingin dengarkan dalam isu PTPTN ini iaitu "jangan bayar balik PTPTN". Adalah menjadi bukan tugas kita sebagai rakyat apatah lagi yang berstatus mahasiswa ditambah pula tidak mendapat peluang pekerjaan yang sewajarnya untuk membayar semula "hutang-hutang" yang dicipta oleh kerajaan ini. 

sejak awal 2010 lagi, malah mungkin awal lagi dari zaman saya sebagai aktivis dalam gerakan mahasiswa itu, telah pun menekankan satu-satunya tuntutan kita sebagai rakyat Malaysia yang berstatus mahasiswa agar berikan pendidikan percuma, mansuhkan segala hutang PTPTN sama ada yang telah dipinjamkan ataupun yang sedang dipinjamkan. 

Ketika kempen digerakkan pada 2012, satu mobilisasi yang besar selepas zaman kelesuan mahasiswa, ribuan mahasiswa turun ke ibu negara berarak dan berkampung di atas dataran merdeka mengambil giliran bermalam pertahan kem-kem kami supaya tanda protes yang berterusan itu dapat mencetuskan momentum dan peduli rakyat bahawa kami mahasiswa serius melawan pinjaman ini dan mahukan sistem pendidikan percuma secara menyeluruh. 

Melalui platform Solidariti Mahasiswa Malaysia, protes kami bukan sahaja dilawan dan ditentang oleh samseng UMNO, malah pihak kerajaan melalui kuasa polis, DBKL yang bertindak kasar sehingga ada yang cedera parah. Ini belum lagi dengan tragedi UPSI berdarah yang menyebabkan beberapa orang mahasiswa berjahit, retak rusuk akibat dibelasah anggota polis di Tanjung Malim ketika protes kami berlangsung dihadapan UPSI. semua ini adalah hanya kerana mahu melawan PTPTN.

Tidak pernah kami berpatah arah, ataupun mundur apatah lagi reda kemarahan, kami jelas dan konsisten mahukan pendidikan percuma, bukan ansuran bulanan, pengurangan kadar faedah ataupun diskaun.

Saya sangat marah apabila Pemuda AMANAH, Khairol Najib dan Ammar Atan membuat kenyataan bahawa peminjam PTPTN mesti bayar balik duit PTPTN dan menggunakan pula hujjah agama. Sepatutnya kita terus beri tekanan dan himpun sokongan supaya melawan PTPTN, bukannya mengajak orang membantu PTPTN.

Apabila Adam memuatnaik status facebook yang menegur "kesilapan" FMT bahawa kononnya dia tidak bermaksudkan "jangan bayar balik pinjaman PTPTN", saya rasa marah mengapa Adam mahu memperbetulkan kenyataan awalnya itu? Bukankah ini yang kita kempenkan kepada para graduan agar terus beri tekanan kepada kerajaan dan melaksanakan pendidikan percuma? 

Tidak timbul soal kita perlu lihat situasi harga minyak dunia ataupun industri pelancongan. Mendanai atau memberi biasiswa kepada seluruh mahasiswa dalam negara tidak perlu berbelanja begitu banyak sebenarnya. Menurut kajian yang dilakukan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia pada tahun berkenaan, kos bagi menanggung semua mahasiswa dalam institut pengajian tinggi negara hanya lah menelan belanja antara 2.3 billion hingga 2.8 billion. Menurut perangkaan YB Rafizi pula kosnya adalah antara 5.8 billion hingga 6.1 billion kerana Keadilan berhasrat ketika mereka dapat memerintah akan dibuka beberapa lagi IPTA bagi mengurangkan IPTS dalam negara. 

Kita tidak perlu bimbang dengan jumlah ini kerana ada pelbagai mekanisme boleh dilakukan oleh kerajaan yang memerintah bagi menanggungnya. perbahasan untuk itu kita akan bahaskan dalam tajuk lain. Namun begitu, bukan kerja rakyat untuk berpening kepala bagaimana kerajaan mahu dapatkan wang itu. Ini adalah kos tradisi yang kerajaan belanjakan untuk pengajian tinggi sebelum PTPTN dilaksanakan lagi. Dengan kadar pertumbuhan ekonomi, sebagai negara yang banyak tol dan juga negara pengeluar minyak, jumlah ini adalah sangat mudah dan ringan. Saya masih ingat kata-kata YB Rafizi, ini adalah tugas kerajaan dan bukannya tugas mahasiswa untuk memastikan bagaimana yuran mereka harus dibayar. 

Namun, kebanyakan pemimpin politik kapitalis dan pemimpin aktivis mahasiswa yang kononnya aktivis masih lagi tidak faham dan menganggap diri mereka sebagai seorang menteri sampai perlu berpecah kepala memikirkan dan mempertahankan pelaksanaan hutang pengajian ini. Dengan cukai barangan, cukai perniagaan, cukai korporat, dan macam-macam lagi sumber dapatan baru negara, mengapa harus kita yang terlebih prihatin berbanding para menteri yang bertanggungjawab memastikan dapatan ekonomi negara meningkat? 

Oleh itu, apabila ada bekas pemimpin mahasiswa yang menyebut bahawa adalah satu tanggungjawab buat para mahasiswa memastikan mereka tidak meninggalkan universiti dalam keadaan berhutang adalah senada dengan pemimpin muda UMNO pada tahun 2012 dulu ketika saya, Adam dan lain-lain berdemontrasi memaki hamun UMNO dalam isu ini. Sesungguhnya adalah satu kekecewaan besar buat saya apabila seorang bekas pemimpin mahasiswa bertindak memperbetulkan tajuk kenyataan media FMT itu yang bagi saya pada awalnya telah betul namun akibat menjaga hati pemimpin-pemimpin kaparat kapitalis yang berada dalam pembangkang, ada bekas pemimpin-pemimpin mahasiswa yang memilih untuk mengubah prinsip yang dibawanya pada zaman mahasiswa iaitu "JANGAN BAYAR HUTANG PTPTN" kepada "Hutang PTPTN Perlu Dibayar"!

Mahasiswa UM yang dibelasah di depan UPSI kerana pertahan tindakan pemimpin mahasiswa Adam Adli yang melawan PTPTN ketika itu sehingga dibuang universiti.

Saudara Safwan Anang turut menjadi mangsa dalam protes berkenaan. 


Ditulis oleh:

Khalid Ismath
-Mantan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiwa Independen 2013
-Mantan Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiwa Independen 2012
-Mantan Ahli Jawatankuasa Solidariti Mahasiswa Malaysia 2011-2013