Saturday, January 4, 2020

Bukan Pasal YTL, tetapi tindakan Maszlee "puja" Arab Saudi?

Sebaik sahaja Pakatan memerintah pusat, negara yang paling terkesan dengan perubahan ini adalah negara-negara Arab yang berkiblatkan Saudi. Arab Saudi sendiri menerima kejutan hebat daripada Mahathir apabila Kerajaan Malaysia menarik balik bantuan tentera untuk berkhidmat di negara  Arab dibawah program yang diketuai Arab Saudi dalam misi-misi perang di Yaman dan sekitarnya. Pusat keamanan yang dibiaya dan dibina di Putrajaya oleh Arab Saudi ditutup serta merta dan diusir keluar dari bumi kita.

Kemarahan Tun Mahathir ini adalah wajar kerana Arab Saudi telah mempergunakan negara-negara Islam untuk membantu dalam misinya menentang musuh peribadi seperti Yaman dan Bahrain. Malaysia tidak terkecuali daripada dipergunakan. Ini juga pernah ditekankan oleh Presiden PAS.

Pada hujung tahun 2019, Maszlee entah mengapa tidak semena-mena membuat hubungan dengan Saudi dalam bidang pendidikan. Walhal, dia tahu bahawa Mahathir tidak pernah suka dengan Bani Saud yang kejam itu. Yaman disembelih, Bahrain diratah, kini musnah hancur luluh di bawah tangan kejam dan zalim Arab Saudi.

Kesemua menteri kabinet pernah mengeluarkan kenyataan mengutuk dan mengkritik tindakan Saudi. Antaranya Menteri luar, Datuk Saifuddin ketika ditanya mengenai sikap Arab Saudi. Mat Sabu juga begitu, sebagai menteri pertahanan, tidak lagi menjalin hubungan baik seperti menteri Hishamudin Hussein yang jalan berkepit kaki.

Dalam isu ini, beberapa hint pernah dilontarkan kepada Maszlee agar jangan bertindak membelakangkan kerajaan mengenai hubungan 2 hala Malaysia-Saudi ini. Namun Maszlee tidak dapat lari dari “kecintaannya” kepada Raja Saudi itu. Raja yang paling kejam di dalam dunia Islam abad ini. Berapa ramai ulama Islam telah mati ditangan raja itu. Berapa ramai orang gaji dari Indonesia dan Filipina dipenggal kepala kerana melawan majikan. Ribuan pula mati dibom dan ditembak oleh tentera Saudi. Maszlee pula mengeluarkan kenyataan akan bawa masuk guru-guru Saudi ke Malaysia. Kononnya untuk dilatih dan diberi peluang mengajar di sekolah-sekolah kita. 

Mahathir pula memberikan gambar jelas sekali lagi, dengan tidak mengajak Saudi ke KL Summit, malahan, meneruskan kritikan dan kutukan ke atas Saudi sebelum KL Summit itu berlangsung. Sentimen Mahathir ke atas Saudi sangat kuat. Saya masih ingat, Pak Kassim Ahmad, antara rakan baik Mahathir pernah bercakap kepada kami dalam sesi temubual di rumahnya bahawa Mahathir sangat tidak boleh terima cara saudi memaksa wanitanya memakai purdah dan juga bertindak seolah-olah mereka adalah "ketua" bagi umat Islam. 

Bila ada orang tanya saya percayakah isunya adalah kerana YTL? Saya kata tidak. Jika Mahathir menyuruh dan memaksa Maszlee mengamalkan kronisme dan rasuah, sudah tentu Maszlee tak akan mengulang-ulang ayat “kesetiannya kepada Ayahanda PM” dalam ucapan sidang medianya.

Dari kenyataan itu, jelas, ada kesalahan atau kesilapan dilakukan Maszlee. Kerana jika Mazlee disuruh berbuat sesuatu yang jelik oleh PM(seperti memberikan kontrak kepada kroni Mahathir), sekurang-kurangnya dia hanya akan beritahu dia meletakkan jawatan sahaja, bukan berucap satu perenggan memuja dan bersetia kepada Mahathir.

Maszlee tidak perlu bimbang jika dia mengatakan dia meletakkan jawatan kerana dia tidak mahu bersekongkol dengan amalan kronisme Mahathir, kerana Maszlee yang kita kenal adalah seorang yang ada prinsip dalam isu ketelusan dan integriti. Kita semua mengenali Maszlee sejak dia menjadi pensyarah dan terlibat dengan aktivisme di jalanan. Itu bukan sikap Maszlee. Jika dia disuruh berbuat jahat, dia tak akan menjulang orang yang menyuruh berbuat jahat itu. Namun dalam isu ini, Maszlee berulang kali mengulangi taat setianya kepada PM walhal ayat itu tidak perlu pun jika dia hanya sekadar meletakkan jawatan.  Jadi sudah pasti ada isunya yang Maszlee tersilap dalam langkah dan isu tersebut semestinya bukan isu integriti atau politik wang. 

Manakala Mahathir bukanlah terlalu bodoh untuk memberi peluru kepada Anwar jika dia menyuruh Maszlee untuk memberikan projek kepada kroninya sekarang dan memecat Maszlee hanya kerana itu. Pasti team Anwar akan gunakan sebagai senjata mempengaruhi majlis presiden PH dan seterusnya hujah yang kuat untuk menyingkirkan Mahathir. 




Pertemuan Maszlee dengan Raja Saudi, musuh utama Mahathir. 

Maszlee membuat keputusan membawa masuk ratusan guru dari Arab Saudi ke Malaysia yang sepatutnya bermula tahun 2020.