Wednesday, January 11, 2017

Berjanggut Serabai, Tidak Bermisai | Syarahan Perdana Tuan Guru Haji Hadi Isu Pergolakan Asia Barat: Ulasan Oleh Khalid Ismath (siri akhir)


Agak lama mahu ambil masa tulis semula sambungan daripada 2 siri sebelum ini mengenai ulasan ke atas syarahan perdana Haji Hadi minggu lepas. Kali ini saya mulakan cerita dengan kes saya yang berlangsung di Mahkamah Johor Bahru semalam. Kebetulan, hari perbicaraan saya yang pertama sama tarikh dengan perbicaraan Peguam Kamal Hisham Jaafar.

Siapa Kamal Hisham Jaafar?

Antara kes yang saya kena dakwa adalah kerana kempen bebaskan Kamal Hisham. Kamal Hisham pernah berjumpa Haji Hadi di Mekah. Semasa mendapat perlindungan dunia Arab dalam kesnya melawan Sultan sebuah negeri di Selatan(kita semua tahu siapakah makhluk Allah ini), Kamal mendapat pembelaan daripada hartawan-hartawan Arab. Kamal adalah graduan bijak yang terpilih menjadi peguam kepada Istana negeri semenanjung tersebut. Kariernya dalam istana itu bertahan agak lama sehinggalah dia menegur tindakan-tindakan salah Duli Yang Mulia tersebut yang akhirnya menyebabkan beliau diugut dan terpaksa mencari suaka di negara Tanah Arab.

Apa yang ingin saya tekankan disini ialah, tidak ramai orang yang sudah berada di tempat yang selesa, mewah dan boleh mengumpul harta, berani untuk menggadaikan semua ini hanya kerana “perjuangan”. Perjuangan yang dipilih Kamal adalah untuk melawan demi kesejahteraan rakyat. Sayangnya, rakyat negara kita ini hanya memandang Anwar Ibrahim ataupun Nurul Izzah yang memperjuangkan rakyat. Kamal tidak memilih parti kerana Kamal banyak berkawan dengan anak-anak muda anarki. Antaranya ialah Ali Abdul Jalil dan Benz Ali. Jiwa Kamal diresapi dengan perjuangan melawan penindas berlandaskan prinsip-prinsip anarkisme. Walaupun tidak sepenuhnya beriman dengan anarkisme, Kamal menjadi seorang yang sangat terbuka dari sudut aqidah dan kefahaman.

Daripada seorang Melayu yang totok dengan rasa hamba kepada “pemimpin Melayu”, kamal menjadi seorang yang sangat menghormati fahaman dan kepercayaan orang lain. Ini termasuk sikapnya pada saya. Kamal pernah berhubung melalui facebook dengan saya dari Dubai, mendoakan dan mengucapkan kata-kata semangat kepada saya ketika saya dipanaskan dengan tuduhan saya sebagai "penyebar fahaman Syiah”.


(Peguam Kamal Hisham ketika ditahan polis kerana dikhianati rakan baiknya sendiri yang kononnya meminta beliau balik ke Malaysia bagi tujuan kecemasan dan persahabatan) 

Apa kaitan cerita Kamal ini dengan awal tulisan saya hari ini?

Apa yang saya ingin tekankan ialah, orang yang sudah berada di kerusi yang selesa tetapi mahu menggadaikan keselesaannya demi menyatakan kebenaran.

Dalam isu Haji Hadi Awang, saya pada awalnya beranggapan, syarahan perdana ini adalah satu pentas untuk hadi Awang “cover” balik serangan ke atasnya dan kenyataan mengenai Syiah di Iran mutakhir ini. Saya fikir, Hadi Awang mungkin akan serang Syiah kaw-kaw bagi menunjukkan dia bersama dengan “so called Muslims in Malaysia” dalam penentangan ke atas mazhab yang “sesat” ini menurut kamus ustaz-ustaz lucah seperti Nadzmi Karim dan seangkatan. Namun tanggapan saya meleset. Haji Hadi yang sudah selesa dengan penyokong yang ramai, berjuta, dan menjadi Presiden pula kepada sebuah gerakan yang masyhur di negara kita, mengambil keputusan untuk bertegas mengenai pandangannya terhadap mazhab Syiah dan politikal kiri di Asia Barat itu.

Ulama muda yang hanya pandai berbahasa arab seperti budak hingusan di JAKIM bernama Aizam Mas’ud (terpaksa juga saya kotorkan artikel ini dengan nama yang najis mughalazah ini) hanya mengambil masa beberapa bulan untuk “memahami isu Asia Barat”. Namun tahukah anda, Pakar Rujuk yang diisytiharkan kerajaan melalui UTM yang bersama dengan Haji Hadi diatas pentas untuk menyemak fakta Haji Hadi itu mengambil masa berbelas tahun untuk mengulas isu Asia Barat ini. Manakala Haji Hadi mengkaji dan terlibat berpuluh tahun dalam pergolakan Asia barat ini. Jadi soalnya “sampah” apa yang Aizam Mas’ud ini bawa?

Saya tidak kenal Aizam Mas’ud ini, tetapi yang saya tahu dia ini orang yang penakut untuk berdebat. Orang yang bacul ini , mudah mendapat jawatan tinggi dalam kerajaan. Sebab itu pegawai kerajaan kita khususnya di organisasi yang melibatkan agama islam ini majoritinya adalah TIDAK BERKUALITI.

Siri tulisan kali ini, saya menyentuh mengenai sesi soal jawab, dialog antara Haji Hadi dan para peserta. Saya kira, lebih daripada 20 soalan dikeutarakan oleh para peserta termasuk saya sendiri kepada Haji Hadi.

Pada peringkat awal, kebanyakan soalan datang daripada pemimpin pemuda PAS pelbagai kawasan. Ada soalan-soalan mereka yang saya anggap bersifat menyerang Tuan Guru Presiden. Antara yang saya dengar ialah seperti berbunyi berikut:

“mengapa tuan guru presiden memilih untuk berpendapat seperti golongan Syiah di Iran dan tidak sehaluan dengan pendapat ulama-ulama yang lebih memihak kepada Barat seperti Yusuf Qardhawi?”

Seingat saya, Haji hadi jawab dengan nada berseloroh, menyebut salah satu frasa “pemimpin Arab ini bodoh!”.

Haji Hadi memberi jawapan, dia tidak mudah lupa seperti Melayu lain seperti yang dikatakan oleh Tun Mahathir. “Alhamdulillah saya ni walaupun dah 60 tahun lebih tetapi Allah masih anugerahkan saya ingatan yang masih kuat dan pengalaman saya masih segar”, kata Tuan Guru Presiden PAS itu.

Ini disahut dengan laungan takbir Allahuakbar oleh para peserta syarahan hari itu.

Sebenarnya saya pun naik bulu roma tiba-tiba apabila mendengar sokongan ahli PAS kepada Tuan Guru hari itu yang mematikan hujah pemimpin pemuda PAS kawasan itu yang bertanya soalan seolah-olah mahu mengiyakan Yusuf Qardhawi dan menyalahkan Haji Hadi.

Kebanyakan soalan yang datang daripada para lebai muda tidak bermisai tetapi berjanggut serabai itu saya lihat lebih menyerang kepada mazhab Syiah. Mereka tidak menyentuh kepada pergolakan yang berlaku di Asia Barat dan tidak mahu menyalahkan Amerika dan Israel sedangkan Haji hadi dalam syarahannya berulang kali menyentuh peranan Amerika dan Israel dalam pergolakan ini. Bagi saya inilah kegagalan besar dalam pemuda PAS hari ini yang gagal menjadikan ahlinya memahami prioriti dan politik nasional dan antarabangsa akibat “keterlaluan” dalam penekanan bab agama. Perlu kita sedar, dalam satu sabda baginda SAW, akhirat dan dunia itu perlu seimbang. Jika kamu melebihkan salah satunya, maka kamu akan ke neraka. Lebih kurang begitulah bunyinya hadis tersebut. Saya tidak ingat siapa perawinya. Namun hadis ini berbunyi logik jika kita lihat situasi kita hari ini. ISIS yang terlalu melebihkan agama, akhirnya menyembelih orang tidak berdosa. Terlalu banyak membaca dan fanatik kepada hadis seperti golongan ISIS, Mufti Perlis dan ahli majlis fatwanya akan menyebabkan kita dengan mudah asyik mengkafirkan, menyalahkan orang lain tanpa melihat sumbangan, jasa dan perjuangan orang yang dikafirkan tersebut.

Bercakap mengenai pakar hadith di Malaysia ini, mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pakar hadis sebenarnya bukanlah pakar hadis pun, namun lebih wajar dipanggil pakar hadas. Kerja menyebarkan kebencian, mengajak manusia mengkafirkan, membidaahkan dan membunuh golongan yang tidak bersama dengan mereka ini, adalah semuanya tergolong dalam kalangan manusia yang berpemikiran najis mughalazah. Saya tidak mahu mencarut jadi saya gunakan istilah lebih baik dan “islamik” supaya teguran saya kena dengan so called pakar hadis tersebut. Bukan saya tak tahu, ketika di India, perjumpaan antara pakar Hadas di Malaysia ini yang boleh duduk dalam majlis fatwa Perlis, telah dihalau oleh beberapa orang ulama muktabar Ahlul Sunnah yang juga pakar hadis terkenal di Sharanpour. Mereka yang belajar dalam ilmu pengajian hadis di universiti pasti mengenali nama tersebut iaitu Maulana Yunus Japouri. Di India, Ulama ini sangat terkenal dengan budayanya yang sangat menyanjungi tetamu pelbagai fahama, mazhab dan agama. Namun, ketika pakar hadas Melayu ini datang, pakar hadas ini dihalau akibat kebiadapannya dan tidak menghormati sesama manusia disana. Inilah budaya salafisme yang diajar oleh Muhammad Abdul Wahhab, iaitu budaya biadap menyerang tanpa bertabayyun.

Cukuplah sekadar itu saya mencerahkan minda yang gelap akibat terpedaya dengan so called pencerahan dan “tajdid”. Cukuplah kita ditipu dengan istilah-istilah arab oleh budak-budak baru nak up yang tidak pernah pun berkecimpung dalam gerakan Islam apatah lagi arena politik nasional mahupun antarabangsa. Lebih malang, tidak pernah terlibat, tapi mengulas isu politik seolah-olah dialah yang terbijak dan maha mengetahui. Orang tua seperti Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Ahmad Awang (Penasihat AMANAH), Ust Abd Ghani Samsudin (Tinbalan Penasihat Amanah), Mohamad Sabu (presiden AMANAH) , almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa (mantan presiden PAS), Tuan Guru Fadzil Noor(Mantan Presiden PAS), As-syahid Ibrahim Libya(pejuang Memali) yang terlibat secara langsung dengan penubuhan gerakan Islam, perjalan tanzim dan penyelarasan gerakan Islam dan perjuangan melawan barat di peringkat nasional dan internasional, semuanya berbeza pandangan dengan golongan salafi dari Perlis ini. Oleh itu, kita mesti bersatu dalam menegakkan yang haq walaupun mereka bukan seangkatan dengan kita. Saya puji tindakan Ustaz Ahmad Awang, Mohamad Sabu dan Dr Mujahid yang tetap mempertahan Haji Hadi Awang walau wujud konflik dalam peringkat politik nasional antara PAS dan AMANAH. Siapa tahu, isu ini mungkin dapat menyatukan hati-hati yang telah terpecah berderai dek persengketaan dan menyaksikan aksi lawan kerajaan yang terbaik dalam perlawanan akan datang. Ilahi Ameen.

Ketika sesi soal jawab dengan Tuan Guru Haji Hadi, saya ternanti-nanti soalan yang berkaitan dengan isu di Asia Barat ini dan kaitannya dengan politik antarabangsa. Malang sekali, setelah bertalu-talu soalan diserang kepada Haji Hadi, tiada pun soalan yang datang daripada ahli PAS yang bertanyakan mengenai penglibatan Barat khususnya USA dan konco-konconya dalam krisis ini walhal, Haji Hadi berulang kali dalam syarahannya menyebut perkataan “Barat” itu. Saya tidak kira semuanya tetapi saya rasa lebih 30 kali dalam ucapan beliau.

Sehinggalah semua soalan dituju, suara Haji Hadi yang seakan sebak dengan ketidak-fahaman  para penyoal dalam isu ini sebaliknya lebih bersifat seolah-olah meragukan prinsip dan ketegasan Haji Hadi dalam kejujurannya menyampaikan isu sebenar kepada masyarakat awam Malaysia, saya bangkit hingga tidak ada yang bangkit lagi bertanyakan soalan. Soalan saya dalam program itu adalah yang terakhir. Ketika saya bangun, berpasang-pasang mata golongan salafi dalam PAS yang saya kenal dan yang saya tidak kenal memandang tajam. Mungkin jika negara ini tiada undang-undang, mereka akan capai leher saya untuk menyembelih. Alhamdulillah sebahagian mereka telah mati dalam peperangan di Syria. Mereka tidak diperlukan di negara kita. PAS juga telah memecat mereka awal dulu lagi. PAS adalah parti yang tidak mengiktiraf kegananasan tanpa asas. PAS meraikan perjuangan. Ibrahim Libya diraikan sebagai seorang pejuang dan syuhada bersama 14 yang lain ketika 80-an. Namun dalam isu Syria ini, kita perlu puji langkah majlis syura ulama PAS pusat yang mengisytiharkan mereka yang menyertai ISIS , FSA atau Al-Qaeda ini sebagai bukan syahid dan juga perjuangan mereka itu belum tentu perjuangan yang diredhai Allah. Saya rasa, dalam keadaan AMANAH dicemari anasir-anasir IKRAM ini, belum tentu Khalid Samad berani mengisythiharkan sedemikian. Maaf, saya bukan anti IKRAM. Namun tindakan orang-orang IKRAM, ABIM dan ISMA melakukan kempen boikot kurma Iran adalah satu langkah terbahalol saya pernah dengar dalam sejarah kempen di Malaysia ini. Jadi, anda faham perasaan saya bagaimana. Saya masih bersahabat dengan kawan-kawan dalam IKRAM, ISMA dan ABIM.

Soalan saya dituju ketika itu, membuat saya sedikit gabrah. Sudah lama saya tidak berdiri dalam program PAS. Berdialog pula dengan Presiden PAS, rasa cuak itu ada. Gementar. Ketika saya menyebut nama dan organisasi saya iaitu dari Pemuda Parti Sosialis, Haji Hadi yang sedang menulis, menghentikan penanya dan matanya terus memandang ke arah saya. “eye contact”. Saya terpegun kerana diberikan perhatian sedemikian. Hendak-hendak lagi, moderator Prof Kamaruzaman Pakar Rujuk di Malaysia dalam isu pergolakan Asia Barat dari UTM ini menegakkan lagi soalan saya memandangkan ini mungkin soalan kedua atau ketiga daripada berpuluh-puluh soalan itu yang menyentuh bab keantarabangsaan. Saya menyentuh laporan Snowden. Kes Snowden tidak disebut dalam ucapan Haji Hadi tadi. Kita semua tahu nama Snowden ini. Seorang anak muda yang berusia lewat 20-an yang genius dilantik sebagai Pakar IT CIA di seluruh dunia. Keterlibatannya dalam risikan CIA di seluruh dunia termasuk di Asia Tenggara ini pernah menyentuh mengenai perihal penglibatan ulama-ulama Islam dengan CIA. Walaupun tidak disebut secara jelas siapakah ulama-ulama itu, ternayata Amerika membayar dan membela para ulama ini untuk kepentingan politik US di peringkat negara-negara Islam. Ulama yang disayangi Amerika seperti Yusuf Qardhawi (Sunni) dan Yassir al-Habib (Syiah) yang sentiasa mewujudkan kebencian antara kedua-dua mazhab agar saling serang menyerang, tidak disangka-sangka keduanya mendapat suaka dan elaun yang besar di kedua-dua negara barua Amerika. Seorang di Eropah, seorang lagi di Qatar. Saya tidak hairan jika satu hari nanti didedahkan Qardhawi dan Yassir ini adalah ejen CIA kerana kehidupan mereka yang maha mewah ini tidak terjangkau dek akal kita. Bagaimana seorang yang tidak bekerja dan hidup dalam pelarian, mampu bermewah-mewah seeprti seorang perdana menteri? Apapun, wallahuaklam bissawab. Kita semua tahu kisah Osama Ben Laden. Selepas dia mencetuskan perkara-perkara pelik di Afghan, contohnya melarang orang perempuan ke sekolah, melarang orang perempuan memandu kereta dan lain-lain lagi, ketika peperangan dicetuskan Barat, maka barulah identiti Osama itu terdedah. CIA rupanya. Dan hingga kini, tiada siapa dapat mengesahkan Osama yang pernah mati berkecai dua kali, satu ketika di era soviet, dan satu ketika era perang Afghan-US itu adakah benar-benar telah mati atau akan jadi mullah sekali lagi nanti apabila US menyerang lagi Afghan buat kali entah ke berapa.

Soalan saya yang bertanyakan kepada Presiden PAS itu adalah berdasarkan pendedahan Snowden, adakah Tuan guru merasakan ada kemungkinan para ulama yang bersependapat dan bertegas memenangkan idea daripada Amerika ini merupakan ejen atau upahan atau barua CIA?  Sebenarnya saya nak sebut nama Qardhawi tapi saya bimbang takut ada yang menyalak di belakang. Saya ada sedikit trauma dengan mereka yang berjanggut serabai tanpa misai. Jadi saya tidak nyatakan nama ulama yang mahu saya rujukkan.

(Perjuangan Snowden mendapat perhatian media telus terkenal berpusat di UK yang banyak membantunya dalam mendapatkan asylum di Rusia)
Apakah jawapan Haji Hadi kepada soalan saya?

Haji Hadi sependapat dengan saya. dia yakin memang kerja CIA sangat licik. Terbukti dalam banyak sejarah peperangan Amerika malah sejak negara kita belum merdeka lagi sebenarnya ikut pengetahuan saya, Amerika banyak mengunakan peranan “barua” atau ejen untuk menyelinap ke dalam perang fahaman dan psikologi terlebih dahulu sebelum menyerang secara fizikal ataupun untuk menyokong tindakan mereka bagi mengebom, menyembelih, memijak, membogelkan dan menembak orang tempatan. British pernah meniru ini yang menyebakan mereka berjaya menjajah banyak negara.



Maka saya lega dengan jawapan dan kalimah terakhir Haji Hadi dalam program itu. Saya duduk dengan lega sambil menyaksikan geng-geng Ustaz Nazmi Karim (penceramah PAS yang paling banyak menyerang isu mazhab termasuk diri saya) bangun awal dan terus berjalan cepat keluar dari dewan. Saya rasa Ustaz Nazmi Karim boleh “tutup kedai” lepas ni dan tiada lagi sumbangan beratus ribu rakyat Malaysia yang diperdaya.


(Prof Tariq Ramadhan al-Banna 
cucu Hassan AlBanna yang kini mendokong kesatuan Sunni Syiah dan membela Iran dalam ucapan-ucapannya)

Saya juga ingin memetik satu soalan daripada pemuda PAS yang ada bertanya mengenai “kesetiaan dan keikhlasan” Iran dalam taqrib dan berjuang untuk bersama ahlulsunnah. Haji Hadi tampil jawab memberikan fakta sejarah. Ketika Syed Qutb, Hasan Al-Banna dihukum mati oleh kerajaan mesir ketika itu, satu-satunya pemimpin kerajaan Islam yang mengerahkan ratusan ribu rakyatnya keluar ialah Ayatullah Ruhullah Khomeini. Iran menyaksikan antara himpunan paling besar selepas berlaku revolusi untuk membela kematian Hasan al-Banna dan Syed Qutb. Di manakah orang Melayu Sunni ketika Hasan Al-Banna dan Syed Qutb dibunuh? Dimanakah kerahan oleh Imam-imam Arab untuk ke jalan raya membela perjuangan Syed Qutb dan Hasan Al-Banna? Tepuk dada tanya selera. Tidak mustahil lah cucu Hasan Al-Banna yang kini terkenal sebagai seorang professor di Eropah,Prof Tariq Ramadhan menyatakan sokongan padu kepada kerajaan Iran dan kesatuan Sunni – Syiah. Ini disusuli awal sebelum itu, adik Hasan al-Banna iaitu Jamal al-Banna yang bersama perjuangan Sosialis selepas sedikit krisis dalam Ikhwan Muslimin Mesir. 

(Jamal AL-Banna, adik kepada Hassan Al-Banna dan beliau merupakan antara pengasas Ikhwan Muslimin, kemudian aktif dalam gerakan kiri di Mesir fokus kepada isu pekerja dan buruh)

Dihujungnya , saya ingin membuat satu kesimpulan. Memandangkan ramai seteru Haji Hadi menyatakan beliau tidak layak menjadi Timbalan Pengerusi Ulama Sedunia, SAYA BERSETUJU. Haji Hadi memang tak layak menjadi Timbalan Pengerusi Ulama Sedunia, tetapi beliau wajib menjadi PENGERUSI ULAMA SEDUNIA.

Akhir kalam dalam tulisan ini, wahdah-wahdah Islamiah! La Syarqiah La Gharbiyyah!

Salam Sosialisme 2017.




(gambar atas: bersama Pak Kasiran Akhsan. orang lama dalam perjuangan PAS. kini berkhidmat untuk PAS Pusat bagi jabatan IT dan Media)
(Gambar Bawah: Gambar yang dikirim oleh Pak Kasiran kepada saya ketika program berlangsung)