Wednesday, January 9, 2019

Dulu "dihalau" dari FAM, kini "dijemput" menjadi AGONG.

Saya masih ingat, ketika Tengku Abdullah, anakanda sulong kepada Sultan Pahang, menjawat jawatan sebagai Presiden FAM. Macam-macam ditohmah, dihina, diejek, diperlekeh. Namun, tidak ada satu kes pun dimana pengkritik, mahupun penghina beliau ditahan. 

Ketika Ultras Bolasepak Johor mengangkat satu kain rentang gergasi, meletakkan badan Tengku Abdullah dengan wajah seekor anjing, kerana kononnya FAM gagal dibawah Tengku Abdullah, tidak ada satu arahan pun daripada Istana Pahang minta supaya polis mencari dan menahan penyokong-penyokong bolasepak itu. 

Saya pernah bertanya kepada IO kes saya ketika di Johor, mengapa menulis di facebook ditahan di negeri ini, manakala mengangkat gambar raja berwajah anjing, tidak pula didakwa dan ditahan. Katanya, Sultan Pahang tidak arah polis tahan, maka polis tidak tahan. Malah, ada raja tidak mahu rakyatnya ditahan hanya kerana sedikit cacian yang tidak langsung mengancam kuasanya sebagai raja. 

banner presiden FAM (tengku Abdullah ) berwajah anjing dinaikkan oleh JDT pada 2015 sehingga menerima kecaman terbuka permaisuri Pahang di media yang mengutuk JDT.

Segalanya berubah selepas Tengku Abdullah meninggalkan FAM. Selepas JDT mula diketuai Tengku Mahkota dari Johor. Selepas JDT mula dijenamakan semula. 

Ya, berubah. 

Tiba-tiba, sesiapa sahaja yang menghina presiden bolasepak negeri boleh ditahan. Yang hina Presiden FAM boleh dipenjara. Yang sindir dan melawak boleh didakwa. Hanya kepada negeri itu. 

Ini semua berlaku dengan rancak selepas Tengku Mahkota Johor diangkat menjadi "tokoh sukan". Aneh. 

Saya masih ingat kes seorang pemuda bernama Amirul. Dia ditahan kerana mengutuk JDT dan kelemahan TMJ. Dia ditahan polis, dipukul, sehingga berdarah. Keberadaannya di dalam penjara Ayer Molek tidak diketahui sesiapa, sehinggalah ada "hamba Allah" memaklumkan kepada SUARAM dan "jawatankuasa bertindak sementara" melawan penganiayaan terhadap para pengkritik Istana Johor. 

Amirul akhirnya dipertahankan dimahkamah, dibela tanpa sebarang yuran guaman oleh peguam berdedikasi yang kini menjadi ahli parlimen di negeri itu. Pertolongan ke sana ke mari, kebajikannya ketika itu, dijaga oleh seorang manusia yang kini telah pun menjadi orang besar dalam majlis bandaraya di negeri itu. Ada sebab saya tidak menamakan indivivu-individu ini. 

Penarikan diri YDPA yang lalu, Sultan Kelantan, memang menyedihkan. Bukan sedih apa, tapi beliau adalah Sultan yang tidak kisah apa rakyat hendak katakan kepadanya. Kerana dia tahu dia Sultan. Rakyat yang kecil, tidak akan mampu menjatuhkannya. Oleh itu, jika digantikan dengan seorang raja yang sama "tidak kisah" ke atas kritikan, kutukan dan perlian, maka biarlah takhta itu berganti. Rakyat tidak mampu menolak mahupun mengancam kuasa raja-raja Melayu buat masa ini. Sebahagian besar rakyat sangat percaya Raja itu penting dalam negara kita. Manakala ketidakpercayaan rakyat kepada raja-raja juga semakin meluas pengaruhnya. 

Kini ramai yang sudah berani untuk berterus-terang menyatakan penentangan berbanding dahulu. Mereka percaya kerajaan sudah "terbuka". Raja pula ada yang semakin profesional dan  bijak memahami isu-isu melanda rakyat. Kerabat Negeri Sembilan dan Perak disanjung tanpa sebarang cacian dan makian kerana banyak menyentuh isu-isu dan permasalah rakyat tanpa hipokrit. Manakala ada juga kerabat di "negara" lain yang menyentuh isu-isu rakyat tetapi dalam masa sama, memaparkan kemewahan keluarganya membeli pelbagai harta yang tidak mampu dibeli oleh seorang raja jika hanya berlandaskan pendapatan elaunnya sebagai raja. Antara contoh kerabat raja ini ialah, Queen Elizabeth, yang teruk dikritik rakyat England ketika beliau menyampaikan ucapan selamat tahun baru menyentuh penderitaan rakyat tetapi duduk disebalik sebuah meja piano bersalut 100% emas. Ya, England. Bukan Johor. 

gambar Queen Elizabeth pada hujung disember 2018 ketika melahirkan keprihatinannya kepada rakyat England yang semakin ramai menjadi homeless. Dibelakang itu adalah sebuah piano emas bernilai lebih 100juta Euro. 

Kesabaran dan ketidak-kisahan Tengku Abdullah ketika diperli, dicaci, dimaki oleh peminat dan pembodek "tokoh sukan" Johor beberapa tahun dahulu, kini berbalas dengan "jemputan" sebagai YDPA negara kita oleh kerajaan. Semoga Raja Muda Pahang yang bakal dinobat menjadi Sultan Pahang dan YDPA ini, dapat terus mengekalkan sikap "cool" terhadap rakyat yang lemah ini apabila dikritik, dihina dan dicaci-maki lagi.