Friday, March 15, 2019

Serang Masjid Di New Zealand, Serang Kuil di Malaysia

Menonton video live pengganas fanatik kulit putih yang beragama Kristian, menjadikan kita membuak-buak marah kepada golongan white supremacist ini. Mereka dengan bangga merakam video dan membunuh belasan nyawa didalam sebuah premis tertutup bernama masjid. Namun, adakah marah kita ini tulen? Adakah marah kita ini kerana penyerangnya beragama kristian dan mangsanya beragama Islam? 

Berlalu juga difikiran saya, terngiang-ngiang mendengar kenyataan seorang sami tua di kuil Seafield beberapa bulan lalu, penyerangnya melaungkan kalimah Allahuakbar ketika menetak kepada sami dan para pengunjung kuil yang berada didalamnya. 

kita tidak pula berasa marah seperti mendengar bagaimana pengganas kulit putih menyerang masjid orang Islam. 

Sehingga kini, kita tidak pun melaungkan semangat sama untuk meminta para penyerang kuil itu dihukum dengan berat kerana membawa senjata dan cuba membunuh orang-orang didalam kuil. saya hanya nampak beberapa orang kenalan saya yang ada menulis mendesak agar penyerang kuil didakwa dengan dakwaan yang berat. Selebihnya 5000 orang didalam facebook itu, semuanya hanya meminta pengikut Hindu sahaja yang dihukum. 

Saya tidak menyokong kuil-kuil tanpa permit dibina. Saya juga menolak pembinaan surau-surau kecil yang terlalu banyak dan terlalu dekat jaraknya antara satu sama lain. kita tidak perlukan banyak rumah ibadat. kita perlukan rumah-rumah untuk mengisi golongan miskin dan susah. 

Saya bukan seorang yang pro kepada bersedekah untuk rumah ibadat. Masjid dan Surau serta tokong dan kuil telah banyak menelan duit manusia untuk mengenyangkan para jawatankuasa rumah ibadat tersebut. 

jutaan duit kita semua selama ini yang berusaha tulang empat kerat diberikan dan diagihkan kepada orang yang lebih kaya daripada kita. 

Namun dalam isu ini, adakah kita marah secara adil, bersimpati secara adil dan juga melayani pihak yang berlainan secara adil? 

Golongan pengganas white supremacist menggunakan alasan serangan mereka kerana orang Islam di New Zealand adalah pendatang. Adakah kita juga sebelum ini menghukum Cina dan India sebagai pendatang? 

Maka, adakah kita boleh menghunus pedang dan parang ke leher para sami dan pengikut Hindu? manakala Kulit Putih di New Zealand boleh meletakkan muncung senapang di kepala orang Islam? 

Jika kita menjadi seorang yang adil, marah kita kerana terbunuhnya orang Islam akibat serangan pengganas, maka kita juga perlu marah kepada 20 orang Islam berbangsa Melayu yang tiba-tiba membawa pisau, parang dan pedang ke kuil Seafield menyerang orang-orang tua, kanak-kanak dan wanita. 

Selamatkan negara kita daripada teroris dahulu sebelum kita bercakap mengenai teroris di New Zealand. 
Salah seorang penganut didalam kuil Seafield yang ditetak.