Sunday, April 9, 2017

Arifin Mengembalikan Nafas Aktivisme UITM.





Setelah bertahun-tahun selepas peristiwa kebangkitan mahasiswa UITM melawan pentadbiran yang tidak adil didalam kampus, sehingga menyaksikan pembuangan mahasiswa kerana bersuara mengenainya, tahun 2017 ini dimulakan dengan satu cerita yang sangat meremangkan bulu roma para penguasa rejim pentadbiran kampus UITM.



Sahol Hamid sudah tidak lagi duduk di kerusi Naib Canselor, barangkali kerana pelbagai skandalnya yang terlibat dengan korupsi dan salahguna kuasa yang direkodkan dalam siasatan SPRM seperti yang disebarkan dalam media sosial beberapa tahun lalu. VC baru ini nampaknya tidak lah sekejam Sahol Hamid.



Ketika mendapat berita Arifin, Mahasiswa tahun akhir fakulti senibina, bakal dibicarakan di mahkamah universiti, sememangnya saya telah menganggap Arifin akan menerima nasib sama seperti batch-batch yang sebelum ini, sejak dahulu lagi, sejak namanya ITM hinggalah ke UITM, mana-mana mahasiswa yang didakwa kerana terlibat dengan politik, akan dibuang universiti. Zaman reformasi, ramai yang dibuang dari ITM kerana arahan Mahathir. Zaman 2012, saya juga dibuang kerana menganjurkan protes menuntut pendidikan percuma. Jadi, sememangnya Arifin boleh dirujuk kepada kes-kes seperti kami. Bakal dibuang.



Apa kesalahan Arifin?



Arifin pada akhir tahun lepas, telah bersama dalam satu perhimpunan aman mengumpulkan mahasiswa UITM Perak membantah Perdana Menteri dalam isu skandal 1MDB. Jarang-jarang perkara sebegini dianjurkan di UITM dan UITM sememangnya terkenal dengan imej universiti lesu yang selalu senyap daripada aktivisme. Kini gelaran lesu itu kita serahkan kepada USIM.



Arifin Amin, seorang anak kepada bekas tentera, yang direkrut oleh Pemuda PAS pada awalnya dan menerima tarbiah serta menjadi pemimpin kampus ketika bersama Pemuda PAS, telah mengambil keputusan keluar daripada jemaahnya dan menyertai dunia aktivisme sebenar selepas “kelesuan” Pemuda PAS dalam isu ini.



Arifin berarak daripada kawasan rumah kedai di Seri Iskandar menuju ke pagar UITM Perak dan mengangkat plakad yang mengutuk penyelewengan dilakukan Perdana Menteri. Arifin dalam puluhan mahasiswa lain, ditangkap oleh polis UITM dan disiasat. Biliknya digeledah, buku-bukunya dirampas, diekori dan sentiasa dirakam aktivitinya dengan lensa kamera polis UITM didalam dan diluar universiti.



Itulah kesalahan Arifin.



Pemuda Parti Sosialis melihat isu Arifin ini kurang diberi perhatian oleh para pemimpin muda parti popular. Sememangnya parti popular ini hanya populis dan hanya akan mengambil kredit hasil daripada keperitan para aktivis. Namun tidak semua pemimpin dalam parti popular ini berkelaku sedemikian.



Pemuda Sosialis terkejut kerana walaupun sudah tertangguh buat kali kedua perbicaraan ini, Arifin gagal mendapatkan pembelaan oleh mana-mana pihak. Maka, saudari Bawani, mantan ketua pemuda PSM yang kini telah menjadi penyelaras pusat khidmat PSM di Kampar,Perak cuba ambil inisiatif untuk membantu atas kapasitinya sebagai seorang peguam. Namun, akta 174 tidak membenarkan bukan bumiputera seperti Bawani untuk mewakili Arifin di mahkamah universiti. Saya bersyukur kerana hasil keprihatinan rakan-rakan seperjuangan, bekas setiausaha Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) yang kini merupakan peguam pelatih, telah bersetuju mengorbankan 2 hari masanya dalam kes dadah di mahkamah seremban dan hadir ke Seri Iskandar untuk membela Arifin. Penat juga saya usahakan mencari mereka yang boleh mengambil hati para hakim di UITM ini supaya menjadi manusia bertimbang rasa ketika menjatuhkan hukum, kerana kebiasannya, para hakim HEP ini berhati binatang apabila berhadapan dengan mahasiswa yang bersuara.



Malam sebelum hari perbicaraan, kami berjumpa dengan Arifin di sebuah kedai berdekatan UITM Perak dan berbincang serta interview beliau mengenai kemahuan beliau dalam perbicaraan ini. Lebih kurang jam 4 pagi, perbincangan kami tamat dan kami berjalan ke lokasi kejadian supaya dapat memahami situasinya, mencari perkara yang teknikal untuk dihujjahkan.



Selepas tamat semua sesi ini, tinggal 3 jam sahaja lagi hendak mula bicara, susah juga mencari tempat tidur. Akhirnya, bersetuju berkongsi satu bilik besar hotel bajet sekitar situ dan tidur beramai-ramai seramai 5 orang di atas satu katil “king”. Terimbau saya memori lalu ketika menjadi seorang aktivis mahasiswa, pusing seluruh negara menyampaikan mesej gerakan mahasiswa kepada rakyat dan berkempen dalam pilihanraya, beginilah situasinya. Kami berkongsi beramai-ramai tidur beberapa jam sebelum menuju ke destinasi seterusnya. Adakalanya, rumah kawan-kawan mahasiswa yang menjadi lokasi persinggahan untuk kami berehat dan urus diri. Jika di Utara, kami akan duduk di rumah Adam Adli, jika di Selatan, kami duduk di rumah rakan AMK, jika di pantai timur, rumah rakan dari pemuda PAS, begitulah riwayatnya “pit stop” kami yang kini tidak akan dapat dirasai lagi melainkan kita mencapai satu matlamat perjuangan.



Selesai kami melelapkan mata selama 3 jam, kami bergegas ke UITM Perak. Setibanya kami di pagar berpalang itu, para anggota polis sudah pun bersiap sedia, menahan segala kenderaan yang keluar masuk. Ini situasi biasa bagi budak-budak UITM bila berlaku setiap kali kontroversi politik didalam kampus. Polis akan dikerahkan mencari dan menghalang mana-mana pihak atau mahasiswa untuk meneruskan program mereka didalam kampus.



Saya fikir, setelah 5 tahun saya tidak masuk UITM dan muka pun sudah menjadi semakin tua dan fesyen rambut yang lebih hipster ini, adalah sangat sukar untuk mereka mengenal identiti saya. Namun, sejurus berhenti, menurunkan tingkap, polis arahkan kereta kami ketepi. Kawan peguam yang akan membela Arifin naik satu kenderaan dengan saya. Bila kami ketepi, datang seorang pegawai atasan berpakaian pereman menyebut nama saya. “Allah!”, dalam hati saya, macam mana mereka ni boleh tahu kami nak datang dan masih dapat cam muka saya.



Dengan rasa kesal, turun kenderaan dan diarahkan untuk duduk di pondok polis itu. Khairul Naim, yang akan mewakili Arifin, syukur dibenarkan masuk dan dihantar ke bangunan HEP untuk prosiding. Pujuk-memujuk dengan pegawai polis UITM berkenaan, akhirnya saya dibenarkan masuk sebentar untuk menemui Arifin sebelum dia dibicarakan. 5 minit, sempat memberikan nasihat dan berswafoto(selfie) didepan bangunan HEP, lokasi mahkamah universiti. Anggaran saya, gambar kenangan sebelum Arifin kena buang. Namun ternyata meleset anggaran saya, Tuhan pada ketika itu lebih mendengar doa saya sebagai seorang yang malas bermunajat berbanding gerak hati saya.



Ayah Arifin juga tiba beberapa minit kemudian dan turut disoal oleh anggota polis dan kemudiannya dibenarkan masuk untuk menemani anakandanya. Arifin beruntung, mempunyai seorang ayah yang sangat “supportive” dan berhati terbuka dalam perjuangan anaknya itu. Banyak kes, rakan-rakan aktivis terpaksa “mati” dalam aktivisme  kerana kekangan ibubapa yang memaksa anak mereka untuk “mati”.



Kami tunggu diluar UITM dan para aktivis daripada KESATUAN (kumpulan mahasiswa) yang tiba dari Kuala Lumpur turut bersama melepak diluar UITM. Turut menjadi pembimbing kami di kawasan itu ialah ketua-ketua AMK cabang berdekatan yang sangat menentang “kartel” dalam PKR. Mereka ini adalah golongan aktivis dalam PKR dan bukannya golongan pembodek. Mereka juga menggadaikan masa depan mereka dalam perjuangan menuntut keadilan di Malaysia ini. Seorangnya itu adalah peniaga cyber cafĂ© pada 1998 yang telah diserbu kedainya oleh pihak polis dan disiasat dibawah akta komunikasi dan multimedia kerana berkempen dalam “REFORMASI”. Seorang lagi itu adalah pejuang dalam Kesatuan Sekerja yang dibuang oleh majikan kerana merancang mogok. Manakala seorang lagi adalah komrad saya dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia satu ketika dahulu yang banyak melaksanakan agenda perubahan di UPSI. Seorang lagi yang saya baru jumpa ialah mahasiswa UPSI yang bergiat aktif dalam PKR yang juga sangat agresif dalam gerakkerja kampus.



Ketika perbicaraan berjalan, setiap kami tidak henti-henti meminta “update” daripada Khairul dan Arifin tentang apa yang berlaku didalam sana. Ketika sidang berehat menanti keputusan, Khairul mengirim rakaman suara di Whatsapp menerangkan apa ucapan Arifin didalam kamar bicara, dihadapan para penasihat undang-undang UITM yang menjadi panel dan membuat keputusan dalam kes Arifin ini.



Antara yang saya terima daripada Khairul ialah,

“pada awalnya saya berfikir untuk melawan tuduhan ini dan menafikan penglibatan saya kerana saya mahu terus menjadi pelajar di UITM, Namun, dalam suasana demokrasi ditekan, kebebasan bersuara dan idealisme mahasiswa dipenjarakan, saya ingin membuat pengakuan tentang keterlibatan saya dalam protes ini. “ dengan nada sebak menurut Khairul, Arifin dengan berani mengatakan beliau memang terlibat dalam protes berkenaan dan bersama dalam membantah Perdana Menteri dalam isu ini.



Sememangnya, ini adalah prinsip yang tegas seorang aktivis, yang berani untuk berkata benar walaupun tahu apa risikonya dihadapan. Berulang kali saya dan Khairul mengingatkan Arifin bahawa keputusan untuk melawan adalah ditangannya. Namun, saya juga tidak sangka, dia berani mengaku terlibat dalam perhimpunan berkenaan walaupun gambar yang tertera dalam kertas siasatan itu sangat tidak jelas dan tiada saksi daripada jurugambar.



Kertas siasatan UITM yang sangat hodoh itu, langsung tidak mencerminkan imej sebuah universiti yang mempunyai fakulti undang-undang dan para penasihat undang-undang yang ramai. Sia-sia sahaja lah UITM membayar gaji ribuan ringgit kepada “legal advisor” ini yang sangat bodoh dalam menyiapkan siasatan. Bukti-bukti yang dikemukakan kepada mahkamah hanyalah gambar Arifin yang sedang bersolat di surau, gambar Arifin sedang membuka komputer di asrama, gambar arifin sedang bersembang dengan pegawai HEP di kafeteria, gambar buku-buku yang dibaca Arifin, dan lebih teruk, Gambar Arifin dari jauh dirakam menggunakan telefon bimbit cikai yang sangat kabur, tidak jelas dan hanya diletakkan “caption”: “arifin sedang berdiri didalam kawasan perhimpunan”. Ya Allah, ampunilah kebodohan pengamal undang-undang yang digajikan UITM ini.



Apapun, keputusan yang tidak dipengaruhi parti pemerintah ini, tidak menetapkan Arifin digantung dan dibuang. Kami semua berasa sangat terkejut kerana inilah pertama kali dalam sejarah, UITM tidak mengenakan hukuman gantung atau buang ke atas kes mahasiswa terlibat dengan politik pembangkang. Ini juga pertama kali UITM mempunya seorang perwakilan yang merupakan peguam dalam kamar untuk membela kes melibatkan aktivisme. Semasa zaman saya, tidak ada sesiapa berani mewakili kerana diancam dengan ugutan akan dikenakan tindakan, walaupun di Shah Alam itu ramai sungguh pensyarah dan senior yang bercakap gebang mengenai ketirisan kerajaan, kejahatan dan penyelewengan pihak pemerintah namun bila tiba masa untuk beraksi, tidak seekor pun berani mengeluarkan air liur untuk mempertahankan hak asasi dan kebebasan bersuara serta ekspresi warga UITM dalam isu melibatkan masa depan negara, mahasiswa dan universiti.



Keberanian Arifin ini hendaklah sentiasa diingati oleh warga UITM zaman moden ini, kerana Arifin telah meletakkan satu “precedent” yang kukuh bahawa mengkritik pemimpin negara itu tidak wajar dijadikan ssebagai satu kesalahan dalam suasana negara memerlukan anak muda yang kritis dari kalangan yang terpelajar. Cukuplah yang terpelajar hanya menjadi mat-mat dan minah-minah skema yang kerja makan gaji dengan kerajaan tanpa mampu menyuarakan sedikit perubahan. Mereka yang terpelajar kini perlu membina imej bahawa mereka adalah juga terdiri daripada golongan yang melawan.



Pemuda PSM sangat berbangga kerana diberikan peluang dan dapat bersama dengan perjuangan mahasiswa khususnya dalam kes Arifin. Kesediaan Bawani membantu dalam menyiapkan affidavit dan representasi bertulis setebal buku sejarah tingakatan 5 yang didalamnya itu padat dengan hujjah yang menuruti perlembagaan dan juga Khairul Naim yang bertekak dan berhujjah didalam kamar bicara, menjadi satu batu asas baharu bahawa Parti Sosialis sedia untuk komited dalam pelbagai isu melibatkan pelbagai lapisan serta bukan lagi sebuah parti yang hanya fokus dan dikenali dalam isu melibatkan pekerja semata-mata. Tanpa mengabaikan agenda perjuangan kelas pekerja, Pemuda PSM membantu dalam isu-isu masyarakat dan terbukti penglibatan kami dalam pelbagai kes hak asasi manusia di pelbagai peringkat mampu membuahkan hasil yang ranum dan melahirkan generasi yang berkesedaran untuk melawan didalam arus perjuangan.

(Arifin Amin, Khairul Naim dan saya sebelum prosiding bermula, dihadapan bangunan HEP mahkamah universiti UITM)







Oleh: Khalid Bin Mohd Ismath (Ketua Biro Jaringan Nasional, Pemuda PSM)