Tuesday, August 13, 2019

Zakir Naik, Ulama Yang Hanya Berani didepan Mikrofon

Tiada siapa persoal kemahiran Zakir dalam perbezaan agama. Selain Zakir, ada ribuan lagi ulama di dunia ini yang juga mahir dalam bab perbezaan agama. Beza antara Zakir Naik dan ulama-ulama Islam lain yang mahir dalam perbandingan agama ini adalah akhlak. 

Ada seorang ulama Melayu, Prof Dr Afifi Alakiti, seorang Melayu yang menjadi pakar perbandingan agama di Oxford, lebih hebat ilmunya berbanding Zakir Naik. Walaupun beliau orang Melayu, menetap di negara Barat, tidak pernah menitipkan sebarang perkataan berunsur perkauman dan menghina agama lain sekalipun beliau sangat yakin Islamnya adalah yang paling benar. Dianugerahkan puluhan pingat, darjah kebesaran oleh raja-raja Melayu, beliau tidak bermegah untuk membuat roadshow menghina agama lain seperti Zakir Naik. 

Mungkin disaat Zakir Naik bercakap mengenai Hindu yang begitu banyak kesalahan dan kesilapan, Dr Afifi hanya tersenyum simpul melihat kebodohan Zakir Naik. Wallahuaklam. 

Penulis adalah seorang Melayu Islam didalam kad pengenalan dan surat beranaknya. Penulis tidak mahu mempersoal kebenaran agama siapa yang lebih tepat dan soheh. Penulis hanya ingin menyentuh mengenai sikap dan akhlak Zakir Naik yang semakin hilang sebagai seorang pendakwah. 

Acap kali bercerita mengenai jihad, keberanian menyatakan kebenaran, serta melawan musuh Islam, Zakir Naik dilihat tidak berani untuk mempraktikkannya di India walhal disanalah masyarakat Islam memerlukannya. Mereka memerlukan seorang pelopor dakwah yang "serba tahu" untuk bercerita mengenai "kebenaran". Zakir Naik sayang sekali melarikan diri dan mencari suaka. Sekali, negara Arab pun tidak mahu menerimanya. Ya, Arab yang begitu Islamnya tebal pun tidak mahu menerimanya. Daripada seorang lelaki berserban tebal terlilit kepala, hinggalah wanita yang bertutup-litup hingga matanya tidak nampak untuk berjalan, tidak mahu menerima dan membela "biawak hidup" seperti Zakir Naik. 

Mengapa pula ada pemimpin Melayu sibuk menerima? 

Tatkala Zakir menyebut mengenai kesetiaan orang India dan Cina kepada negara Malaysia, kepada kerajaan kita, entah mengapa ada Melayu, Cina dan India muslim yang mempercayainya. 

Jika kita melihat sejarah, nama-nama seperti Veerasamy, S.A Ganapathy dan Chin Peng adalah nama yang telah bangkit mempertahan tanah air kita bersama-sama dengan orang Melayu untuk melawan Jepun dan British. Zakir Naik mungkin bijak dalam soal perbezaan agama, namun dia tidak bijak dalam sejarah negara kita. kerana apa? kerana dia tidak layak dan tidak setia ke atas keharmonian negara Malaysia. 

Dia tidak sedar bahawa pada zaman British berapa ramai didalam ladang dan estet yang dihukum bunuh oleh British kerana mempersoal tindakan British kepada rakyat Tanah Melayu ini. Dia tidak tahu, bahawa berapa ramai orang Cina yang hidup dalam buangan selepas British menjajah Tanah Melayu. Kerana apa? kerana Cina-Cina itulah yang memperoleh senjata untuk menghalau British kerana kesetiannya kepada Tanah Melayu. 

Dihujung tulisan ini, saya ingin simpulkan harapan buat kita semua. Harapan kita, kita tidak mahu orang yang angkuh seperti Zakir Naik mendabik dada bahawa hanya dia seorang sahaja mengetahui semua perkara. Kita berharap agar, Zakir Naik melaksanakan kata-katanya bahawa orang Islam sepertinya perlu berani berhadapan dengan kebatilan, justeru pulang ke negaranya dan gunakanlah mikrofon disana. Lihatlah sama ada dia berani berdiri buat seminit dua, jika bertahan seminit dua itupun keberaniannya, maka kita salute dan kita kagum dengan kata-katanya. Usah berlindung disebalik mikrofon di negara orang. 

Salam perjuangan buat Zakir Naik dan anaknya. 

jangan takut dan jangan lari, 
hidup kita semua cobaan, 
pulanglah ke negara sendiri, 
buat apa takut dengan kerajaan. 
Salam sejahtera buat  S.A Ganapathy. Mendiang dihukum bunuh oleh British kerana mempertahankan negara kita.