Friday, October 12, 2018

Pemimpin PSM Disiasat Polis Kali Ketiga Kerana Hantar Memorandum Pertahan Penduduk Yang Diusir

Putrajaya: Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia, Saudara Arul bersama dengan 2 pemimpin PSM Kawasan Klang hari ini dipanggil polis lagi untuk disoal siasat berkaitan satu memorandum yang dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri mengenai isu peneroka bandar Kampung Bukit Kuda, Klang yang cuba diusir oleh seorang Datuk yang mendakwa dirinya pemimpin Parti PPBM dan orang kanan Perdana Menteri. 

Penduduk Kampung Bukit Kuda telah menang di mahkamah selepas cubaan pengusiran yang cuba dilakukan oleh pemaju pada 2 tahun lalu. Penduduk Kampu
ng Bukit Kuda dibenarkan oleh mahkamah untuk tinggal di atas tanah tersebut. Namun seorang berpangkat Datuk dan mendakwa dirinya orang kanan kepada Perdana Menteri datang bersama samseng dan polis cuba mengusir penduduk pada 2 bulan lalu.

Parti Sosialis yang mendapat aduan tersebut daripada penduduk kampung telah bertindak mempertahankan kampung tersebut termasuk menyediakan khidmat guaman percuma kepada penduduk semasa kes berjalan dimahkamah. Saudara Arul pula membawa penduduk kampung untuk menghantar memorandum kepada PM bagi memastikan tidak ada salahguna kuasa oleh ahli politik yang mendakwa orang kanan PM dalam kes tersebut. 

Arul telah dipanggil polis pada beberapa bulan lepas hari ini dipanggil lagi oleh polis putrajaya atas alasan menghantar memorandum adalah satu kesalahan dibawah kerajaan baru Pakatan Harapan. Selain itu, beliau juga disiasat dibawah Akta Perhimpunan Aman yang sebelum ini Pakatan Harapan berjanji untuk tidak menggunakan akta itu kepada kumpulan demonstran. 

Arul bersama Puan Manis dan Saudara Rama ketika di lobi IPD Putrajaya untuk disoal siasat. 



Tuesday, October 9, 2018

Pendapat: Serbuan Khalwat Bertentangan dengan Hak Asasi Manusia, Tidak Memelihara Ke’aiban Individu.


Serbuan Khalwat Bertentangan dengan Hak Asasi Manusia, Tidak Memelihara Ke’aiban Individu.

Benarkah menyerbu orang disyaki berkhalwat itu satu tuntutan agama?

Sebenarnya tiada dalam mana-mana nas mengatakan serbuan khalwat itu satu tuntutan oleh Islam. Apa yang dilakukan oleh Jabatan Agama di Malaysia ini adalah keputusan manusia itu sendiri. Islam tidak sama sekali meminta umatnya untuk mengganggu privasi orang lain seperti yang tertera dalam Al-Quran surah Al-Ahzab ayat ke 58 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang mengganggu orang-orang yang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.


Adakah serbuan khalwat itu sendiri mengikut syarak dan kemanusiaan?






Melihat kepada kes demi kes serbuan yang berlaku, begitu banyak kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam. Pasangan suami isteri diserbu kerana gagal menunjukkan pengakuan perkahwinan. Ada juga kes dimana, pasangan ditahan didalam pejabat tempat kerja kerana hanya ada seorang lelaki dan perempuan. Ini belum lagi kes yang mana ada lelaki yang diserbu dibelasah sehingga cedera kemudian baru didapati pasangan itu adalah pasangan sah. Tidak ada pasangan yang rajin membawa surat nikah bersama ketika keluar dari rumah.

Apabila diserbu, pasangan berkhalwat akan diminta menanggalkan pakaian mereka. Menurut cara serbuan yang diamalkan Jabatan Agama Islam hari ini, mereka sebelum menyerbu, akan menonton terlebih dahulu pasangan tersebut, kononnya untuk mendapatkan bukti. Malah terdapat banyak kes serbuan, pasangan diminta menanggalkan pakaian walaupun dalam keadaan berpakaian didalam bilik. Ada yang diugut dicederakan sekiranya tidak mahu tanggalkan baju. Untuk apa semua ini?

Menurut pengalaman-pengalaman orang yang pernah diserbu, mereka dikehendaki berbogel walaupun mereka sudah mengenakan pakaian apabila diserbu. Kemudian, mereka akan dirakam gambar dan video untuk disimpan oleh para penyerbu.


Siapakah penyerbu khalwat?

Penyerbu khalwat merupakan orang-orang yang tidak mempunyai kefahaman agama pun. Mereka ini mendapat kad daripada Jabatan Agama Islam setiap negeri. Mereka ini banyak yang bertindak luar batasan termasuk membogelkan pasangan, menumbuk dan menyepak pasangan, dan mereka ini berkemungkinan juga menjadi penjual gambar-gambar lucah pasangan kepada media ataupun laman-laman sesawang lucah. Pegawai Jabatan Agama Islam sendiri juga pernah ditahan kerana meminta rasuah seks sebagai balasan melepaskan pasangan berkhalwat daripada didakwa.

Jadi, kesimpulannya, tindakan menyerbu pasangan khalwat adalah lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Selain orang yang diserbu menjadi mangsa penganiayaan, tindakan melihat aurat, privasi individu adalah jelas tidak mengikut lunas syarak dan bukan satu kehendak agama. Perkara yang tidak disebut didalam Al-Quran wajar dilawan seandainya melampaui batas kemanusiaan.


Ditulis oleh: Khalid Mohd Ismath