Sunday, April 12, 2020

Lantikan GLC: Siapa Yang Lebih Bagus? Ahli Parlimen Atau Teknokrat?

Kemelut pelantikan GLC kembali nyaring dilaung oleh pelbagai kumpulan politik. Ada pihak mengatakan kumpulan teknokrat lah yang paling layak untuk menjadi pengarah GLC manakala satu kumpulan lagi mengatakan Ahli Parlimen adalah yang sewajarnya dilantik untuk mengetuai GLC.

Sesiapa pun menjadi kerajaan, akan melakukan lantikan politik didalam jawatan-jawatan yang tidak ada kena mengena dengan kelayakannya jika hendak merujuk kelayakan itu dari ruang lingkup pengalaman dan latar belakang pendidikan.

Bagi saya, saya lebih memihak Ahli Parlimen untuk GLC berbanding teknokrat.

Mengapa?

Pertama: 

Ahli Parlimen akan membelanjakan wang pendapatannya untuk kawasannya. Yang mendapat manfaat daripada ini adalah rakyat di kawasannya. Teknokrat pula, mereka tidak perlu menggunakan pendapatan mereka untuk mana-mana rakyat kerana itu bukan tanggungjawabnya. Wang yang digunakan oleh teknokrat hasil daripada pembayaran gaji dan elaun oleh syarikat GLC itu akan berakhir di luar negara kebiasaannya. Untuk seorang Ahli Parlimen, peruntukan sememangnya tidak mencukupi untuk menampung bagi kawasan-kawasan yang majoriti rakyat berpendapatan rendah. Dengan adanya elaun daripada jawatan dalam GLC, Ahli Parlimen dapat menggunakan lebih banyak wangnya untuk memberikan wang saku berbentuk cash kepada rakyat yang datang memohon bantuan di pejabat.

Kedua: 

Ahli Parlimen sentiasa dalam pemerhatian rakyat dan badan-badan berkaitan integriti manakala teknokrat tidak menjadi perhatian rakyat. Rakyat tidak akan ambil kisah pun jika teknokrat menguruskan GLC dan berapa pendapatannya namun ini berbeza dengan Ahli Parlimen. Mereka sentiasa diimbangi dengan kritikan, pemerhatian tajam dan banyak mata yang akan sentiasa mengawasi dan melaporkan perbelanjaan diluar kemampuan dan kawalan. Wang pendapatan hasil menjawat jawatan dalam GLC itu mahu tidak mahu, tetap akan digunakan sebahagiannya untuk tujuan kebajikan di kawasannya walaupun hanya sedikit.

Ketiga: 

Teknokrat penuh dengan sikap mementingkan diri sendiri. Teknokrat tidak perlu menjaga dan berfikir mengenai kebajikan orang dibawahnya manakala seorang ahli parlimen, beliau perlu memastikan rakyat di bawah kawasan pengurusannya dijaga dengan baik bagi mendapatkan undi dalam pilihanraya akan datang. Untuk itu, mereka akan menggunakan wang yang banyak untuk diberikan dan disumbangkan kepada rakyat demi matlamat undi. Yang menerima kesan positifnya adalah rakyat walaupun Ahli Parlimen itu bersikap populis.


DARI SEGI PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN: 

Dalam GLC ada badan eksekutifnya. Ada ramai pegawai, cerdik pandai yang dibayar gaji untuk bekerja dan menentukan hala tuju perniagaan syarikat. Ada juru audit, ada admin, ada accountant dan pelbagai jawatan untuk menentukan dan menjadikan perniagaan berjalan dengan baik. Pengarah di GLC dalam malaysia ni, hanya wayang dan nama sahaja. masuk mesyuarat, sign cheque , terima elaun. Itu sahaja. Jadi kita tidak perlu bimbang. Kerana itu jugalah kerja di kementerian. Menteri hanya perlu arah sahaja kakitangannya yang cerdik pandai. Kerja menteri, tolong bercakap bagi membantu rakyat.

Dalam GLC ini, kerajaan PH ataupun BN pernah saja lantik orang tidak masuk universiti dan tidak ada pengalaman pun untuk GLC penting dibawah kerajaan negeri mahupun pusat. Contohnya, syarikat air di sebuah negeri PH, melantik lembaga pengarah seorang YB yang hanya ada SPM sahaja. Tak pernah dengar pulak syarikat air di Penang itu jatuh muflis atau rugi.

Konklusi:

memang kedua-duanya (teknokrat dan ahli parlimen) berpotensi untuk rosak atau dirosakkan. Namun jika tiada pilihan, lebih baik Ahli Parlimen berbanding teknokrat. Jika ada pilihan yang lebih lanjut lagi, lebih baik menjadi anarki daripada memikirkan politik.