Sunday, December 1, 2019

Para Bekas Pejuang PKM Berkumpul Memperingati Perjanjian Damai

Bertumpahan darah mempertahan tanah air daripada penjajahan Jepun dan British, jasa para bekas anggota Parti Komunis Malaya tidak dapat dinafikan. 

Ramai antara mereka yang terkorban menjadi mangsa kepada Jepun dan British. Selepas merdeka, mereka dijadikan pula kambing hitam oleh British supaya orang ramai di Tanah Melayu membenci komunis. 

Zaman itu tiada internet dan hanya bergantung pada satu sumber berita. Sumber itu adalah British. British menguasai negara. Surat Khabar juga tidak bebas. Menulis melawan British boleh dikenakan ISA. ISA adalah undang-undang yang diperkenalkan penjajah. Diteruskan oleh Tunku untuk  mengekalkan kuasa. 

Sesiapa sahaja yang membunuh orang awam, terus dicop komunis. Asal Cina sahaja, mereka adalah komunis. Bercakap melawan British sahaja, terus dianggap geng komunis. Begitulah orang-orang tua kita diperdaya dan dimomokkan. 

Melayu-melayu yang belajar sejarah dan berpendidikan tinggi biasanya faham mengenai perjuangan komunis ini. 

Baru-baru ini saya bertemu dengan beberapa orang Profesor dari universiti awam di sebuah program mengenai "Melayu" di pejabat NSI, mereka jelas mengenai sejarah. Mereka bercakap juga mengenai isu ini dan mereka juga mengakui bahawa Komunis ada peranannya dalam memerdekakan negara. Parti Komunis yang telah berulang kali meminta supaya kerajaan membenarkan mereka bergerak secara demokrasi pilihanraya bukanlah kumpulan teroris. 

Jika teroris, mereka tidak meminta untuk mendaftar sebagai parti politik atau pertubuhan berdaftar. Mereka setuju meletakkan senjata dengan syarat British keluar dari Malaya. Adakah permintaan ini salah? 

Banyak juga dakwaan dan tuduhan palsu dibuat ke atas ahli-ahli komunis. Sebagai contoh, Komunis menolak Tuhan. Komunis merogol wanita Melayu. Komunis membunuh orang Melayu. Semua ini kita dapati daripada sejarah acuan penjajah British. Jika kita mengenali anggota-anggota komunis, mereka terdiri daripada orang agama, pemimpin-pemimpin pekerja, dan bukanlah seperti apa yang dimomokkan oleh British dan menjadi ikutan kerajaan Malaya. 



Perhimpunan yang berlangsung di Kajang, Selangor siang tadi menampilkan ratusan bekas pejuang PKM terdiri daripada pelbagai kaum. 

turut hadir ialah wakil PSM, PRM, PKR dan DAP.